Ayunan Emas Enterprise
Serba Sedikit Tentang Proses Menenun
Tenun ialah proses mencantum atau menyilang benang-benang menjadi kain tenunan. Seni Tenunan Pahang berasal dari Bandar Diraja Pekan. Fabrik ini ditenun dengan menggunakan Kek Siam . Pengenalan kepada Fabrik ini berdasarkan pada corak berjalur dan kotak atau berpetak yang terhasil dengan mengunakan pemilihan susunan pada benang Pakan dan loseng yang diubah-ubah. Seni tenunan di Pahang ini dipercayai dibawa ke Pahang pada abad ke-16 masihi dari Riau atau Sulawesi oleh pembesar Bugis bernama Tuk Tuan (Keraing Aji) . Beliau disifatkan sebagai pelopor reka corak baru dalam pemakaian kain sarung dan kain samping. Tuk Tuan sering memakai Dagang Luar dan Dagang Dalam dari bahan tenunan sutera permai yang dibawa dari Sulawesi , Acheh dan Riau. Pengetahuan dalam bidang tenunan menyebabkan ramai wanita khasnya surirumah sekitar tempat tinggalnya mempelajari cara membuat kain tenun iaitu Kampung Mengkasar , Pekan. Kewujudan dan ketokohan Tuk Tuan telah dicatatkan oleh penulis Inggeris , Dr. W. Linehendan T.J. Nerbold. Seni Fabrik yang halus dan indah ini telah mendapat sokongan golongan istana terutama Yang Mulis Tengku Ampuan Mariam.
Kepermaian Sutera Tenun Pahang telah dijadi pelengkap busana juita anak-anak raja, golongan istana,orang bangsawan dan dijadikan cenderahati ke luar negara. Kini kegunaannya telah tersebar kepada golongan rakyat sebagai kain sampin, kain sarung serta dijahit untuk pakaian tradiosional. Harganya bergantung pada harga dan jenis benang yang digunakan.
Secara ringkasnya proses menenun songket adalah dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng (warp) di permukaan alat tenun yang dipanggil kek tenun. Proses menyungkit dilakukan setelah benang karat butang disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.
Mencelup benang
Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah pewarnaan dibuat benang perlu di keringkan, sebelum kerja selanjutnya dilaksanakan.
Melerai benang
Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.
Menganeng benang
Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.
Menggulung
Benang-benang yang diregang di alat menganeng (ianian) digulung dengan sekeping papan loseng.
Menyapuk benang
Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilakukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera.
Mengarak benang
Karak dibuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli sewaktu menenun.
Menyongket benang
Proses mereka corak di atas benang loseng dengan menggunakan alat yang di panggil lidi dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat dan dikenali sebagai proses ikat butang.
Menenun
Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap ini dipotong mengikut saiz.
Menenun adalah proses yang amat remeh
dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Penenun juga mestilah sangat
kreatif untuk menghasilkan kombinasi warna-warna yang menarik. Umi, yang
mewarisi bakat dan kepakaran menenun dari nenek moyangnya memberitahu, untuk
menyiapkan sehelai kain tenun, beliau mengambil masa sekurang-kurangnya kurang
3 minggu!! Setelah mendengar dan melihat sendiri bagaimana Umi menunjukkan
cara-cara menenun, betapa gigihnya beliau meleraikan benang-benang yang kusut
yang kadangkala putus dan menggunakan kek untuk menenun lembaran-lembaran
sutera, saya merasakan harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan walaupun
mungkin agak mahal berbanding dengan kain-kain biasa. Dan sudah
semestinya saya tidak pulang dengan tangan kosong :) Terimakasih kepada penaja
En. Aziran!!
Dari Bera Turun Ke Pekan
Hilir Membawa Ikan Patin
Dari Sutera Menjadi Pakan
Ditenun Si Dara Menjadi Kain